Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Kehidupan sedang kembali normal dan juga berkembang di kawasan yang sudah dibebaskan daripada cengkaman kumpulan pengganas di Aleppo.

Foto: © Sputnik/ Mikhail Voskresenskiy
Orang awam dilihat giat menjalankan aktiviti harian mereka di Aleppo. Restoran-restoran sibuk menyediakan pelbagai makanan Arab untuk para pelanggan mereka, bazar-bazar pula sibuk menjual buah-buahan, rempah-ratus dan pelbagai keperluan harian yang lain kepada ribuan pembeli.
Pasar al-Jamila adalah sebuah pasar yang terbesar di Aleppo. Terdapat 10000 penjual giat menjalankan aktiviti jual beli dengan 30000 orang pengunjung. Para peniaga menjual roti, kebab, buah-buahan, sayur-sayuran dan juga rempah-ratus.
Sebiji apel di al-Jamila berharga lebih kurang USD 0.16 dan sekeping shawarma (sejenis kebab) pula berharga USD 0.37. Di satu sudut, gaji para penjawat awam secara puratanya adalah sekitar USD 53.16 (di antara 20 ribu hingga 30 ribu Lira Syria). Oleh kerana itu, para peniaga mampu mengumpul pendapatan yang melebihi jumlah tersebut.
Seorang peniaga bernama Masood berkata bahawa sejenis barang jualan yang perlu dimiliki oleh setiap kedai adalah buah zaitun. "Kami perlu memiliki buah zaitun. Tidak kisahlah sama ada kami menjeruknya atau memerah buah itu untuk mendapatkan minyaknya," kata peniaga itu.
Seorang pembeli bernama Zahra pula mengakui bahawa gajinya telah berkurangan kerana perang yang tercetus di Syria. Akan tetapi dia tetap membeli terung untuk menyediakan sejenis masakan tradisional Aleppo. "Kami menyumbatnya dengan daging cincang dan memasaknya di dalam yogurt," katanya yang kelihatan teruja berkongsi resipi dengan wartawan.
Terdapat juga pasar raya yang kelihatan hampir sama dengan pusat membeli belah di Eropah. Akan tetapi harga barangan yang ditawarkan di situ mahal sedikit berbanding harga yang diletakkan oleh para peniaga jalanan di pasar-pasar awam.
Di sebalik warna kehidupan yang menarik perhatian pemerhati, sukar untuk dipercayai bahawa tidak jauh dari kawasan ini terdapat sebuah laluan kemanusiaan yang disediakan oleh pihak tentera kerajaan dengan bantuan Rusia untuk membenarkan penduduk di kawasan yang lain untuk melarikan diri daripada cengkaman pengganas.
Konflik di Syria di antara kerajaan Damsyik dan para militan sudah lama 5 tahun menghantui negara Arab ini dan sehingga sekarang tiada siapa yang mampu meramalkan penyudahnya.